PROSEDUR operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan pengambilan dos penggalak ke atas jemaah umrah Malaysia adalah berdasarkan kepada kehendak Kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
“Dos penggalak adalah salah satu kehendak (kerajaan) Saudi ke atas jemaah umrah. Mereka ada mengeluarkan circular (pekeliling), jadi kita kena ikut.
“Pintu untuk ke Tanah Suci dah dibuka mulai hari ini. Jadi jemaah kita kena ikut syarat yang ditetapkan untuk ke sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Usrah Anak Muda anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Zayan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), pada Selasa.
Sebelum itu Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkqn jemaah umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini.
Beliau berkata selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).
“Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.
Selain itu, mereka yang dipertanggungjawabkan dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA (pintu masuk antarabangsa) Malaysia,” kata Hishammuddin dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb terikat dengan SOP sedia ada namun apabila pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan.
Mengulas lanjur Idris berkata, pihaknya pada masa kini tidak mempunyai data terkini bakal jemaah umrah yang telah menerima dos penggalak.
Katanya statistik mengenai bakal jemaah umrah Malaysia yang sudah menerima suntikan dos penggalak ada pada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana urusan SOP umrah itu adalah di bawah kementerian itu.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.