[VIDEO] Subjek terlalu banyak jejaskan pelajar

Pakar desak KPM buat perubahan drastik

0
1222

JUMLAH subjek pelajaran yang terlalu banyak didakwa boleh mengakibatkan impak negatif secara fizikal dan mental kepada pelajar sekolah.

Selain itu, pelajar juga hanya memiliki tahap kemampuan tertentu untuk mempelajari sesuatu perkara, namun jika subjek terlampau banyak, ia boleh mengakibatkan tekanan emosi atau masalah mental yang akhirnya mendorong mereka melakukan perkara tidak diingini.

Pakar Pediatrik Mawar Medical Centre Seremban, Dr. Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi menegaskan,
masalah ini juga turut berkait rapat dengan isu beg sekolah terlalu berat yang turut memberi tekanan serta kesan sampingan kepada pelajar.

Berikutan itu, beliau mendesak masalah dihadapi pelajar sekolah perlu ditangani segera.

“Berbanding dengan dulu, kita belajar pendidikan jasmani hanyalah bersukan, bermain dan berpeluh, sekarang belajar pendidikan jasmani sampai jadi cikgu ‘anatomi’ sebagai contoh.

“Pendidikan Islam dulu hanyalah menekankan tentang asas agama Islam tetapi sekarang ada lima lagi subjek tambahan dalam Pendidikan Islam,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pada masa sama, katanya guru juga menyediakan pelbagai buku latihan serta buku tambahan sebagai rujukan, sedangkan perkara itu menambah beban kepada pelajar.

Beliau mendakwa perkara itu berlaku disebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak memandang serius terhadap beban dihadapi pelajar kerana kebanyakan pihak beranggapan sebagai satu perkara biasa.

“Sebenarnya anak-anak harus dibesarkan dengan kegembiraan di sekolah dan bukan bebanan pelajaran yang melampau.

“Kalau kita lihat di negara maju, sekolah merupakan tempat untuk pelajar bermain dan bersuka-ria berbanding di Malaysia yang menjadikan sekolah sebagai tempat ‘mentelaah’,” jelasnya.

Berikutan itu, katanya KPM yang memegang hala tuju pendidikan negara untuk membentuk pelajar yang bagus dari pelbagai aspek haruslah membuat satu perubahan.

“Saya rasa kita memerlukan revolusi atau perubahan yang agak drastik daripada segi pendekatan dalam bidang pendidikan,” ujarnya.

Tambahnya, masyarakat moden tidak seharusnya lagi bertunjangkan kepada keputusan peperiksaan pelajar atau jumla ‘A’ yang diraih, tetapi perlu mementingkan cara untuk hidup dengan lebih kreatif dan inovatif.

“Anak-anak ini sepatutnya seronok dengan kehidupan mereka, mereka seharusnya bermain dan belajar subjek yang diperlukan untuk jangka masa panjang.

“Seperti di Amerika Syarikat, mereka hanya memberi tumpuan kepada keseronokan pelajar.

“Banyak contoh dari negara lain yang boleh kita rujuk namun agak sukar untuk dicontohi kerana acuan Malaysia diwarisi dengan cara meninggalkan legasi dimana setiap kali berlakunya pertukaran menteri maka ada perubahan dasar,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa sikap sebegitu tidak boleh dipraktikkan dalam pendidikan kerana yang menjadi mangsa adalah anak bangsa kita sendiri.

Selain itu, Dr. Mohd Zaqrul yang juga seorang pakar kanak-kanak yakin bahawa rutin menggalas beg sekolah yang berat selama bertahun-tahun bukan sahaja memberi kesan kepada anaknya, tetapi juga ramai pelajar sekolah di seluruh negara.

Anaknya, Nurul Hanim Fazwin, 17, terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini untuk membetulkan tulang belakangnya yang bengkok 40 darjah disebabkan masalah yang dikaitkan dengan kebiasaan menggalas beg sekolah yang berat saban tahun.

Oleh itu, beliau menggesa KPM untuk membuat satu perubahan drastik demi menyelesaikan masalah ini terutamanya subjek yang terlalu banyak membuatkan beg sekolah menjadi berat.

Mengulas lanjut, walaupun isu beg sekolah berat ini bukanlah perkara baharu, namun, ia masih gagal ditangani secara berkesan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here