KANUN Keseksaan baharu mungkin diperkenalkan terhadap individu yang cuba mengelak membayar tol dengan menggunakan lorong Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya pada 2025.
MLFF ialah sistem tol tanpa halangan tanpa pondok tol dan lorong khusus yang menggunakan struktur gantri dengan peranti pengecaman plat nombor automatik (ANPR) di lokasi tertentu.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof kementeriannya mencadangkan satu undang-undang jenayah baru terhadap pengelak tol sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MLFF dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Fadillah juga berkata, satu kanun keseksaan baharu dan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan, termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Ini bagi mengelakkan ketirisan kerana kami sedang meneliti peruntukan undang-undang yang merangkumi kanun keseksaan dan sama ada mengelak tol boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana tiada halangan lorong di bawah MLFF.
“Bagi mewujudkan sistem rekod pengesanan kenderaan dan pemandu, kita perlu menghubungkannya dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Undang-undang berkaitan perlu diteliti. Mungkin terdapat keperluan untuk undang-undang khas (baharu) atau mungkin undang-undang sedia ada perlu dipinda,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.
Ditanya sama ada pindaan itu akan dibentangkan oleh hanya kementerian itu saja di Parlimen, beliau berkata: “Bukan hanya satu kementerian. Ia perlu dilakukan oleh beberapa kementerian dan agensi berkaitan.”
Bagaimanapun, Menteri Kanan itu tidak menyatakan sama ada hukuman penjara akan dimasukkan dalam kanun keseksaan yang dicadangkan itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.