Denda 1,000 rial ubah pakaian kebangsaan Oman

0
721

PAKAIAN kebangsaan mampu membuatkan pemakai merasa bangga untuk menonjolkan lambang negara masing-masing.

Setiap negara di seluruh dunia memiliki pakaian kebangsaan dengan ciri-ciri tersendiri yang menyerlahkan identiti sesebuah negara.

Sepertimana yang kita semua tahu, pakaian kebangsaan Malaysia adalah Baju Melayu bagi lelaki manakala baju kurung dan kebaya bagi wanita.

Sementara di Oman, pakaian kebangsaan mereka merupakan jubah yang dikenali sebagai Dishdasha.

Baru-baru ini, kerajaan kesultanan Oman itu memutuskan untuk mengeluarkan denda terdhadap mana-mana individu yang tidak memakai dishdasha atau cubaan untuk mengubah identiti pakaian kebangsaan negara itu.

Keputusan untuk mengenakan denda sehingga 1,000 rial (RM10,881) yang diputuskan oleh kerajaan pada awal bulan ini adalah usaha mereka dalam mengekalkan warisan Oman.

Malah, tindakan tegas itu juga akan dihadapi oleh mereka yang memakai Dishdasha tiruan dan denda itu akan meningkat sekali ganda sekiranya undang-undang baharu berkenaan dilanggar buat kali kedua dan seterusnya.

Menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Oman, Qais Mohammed Al Yousef, telah mengeluarkan keputusan dan menetapkan larangan untuk mengimport atau membuat pengubah suaian Dishdasha sehingga boleh menjejaskan identiti Oman.

Ciri-ciri rekaan pakaian itu adalah mengikut kriteria yang mensyaratkan ia dibuat daripada bahan kapas dengan sulaman bercorak hanya pada kolar, bahagian dada dan kaf pada pergelangan tangan.

“Fabriknya mestilah satu warna,” jelas pegawai kementerian itu sambil menambah warna putih atau neutral lebih disenangi.

Sekali pandang, jubah Dishdasha ini tidak jauh bezanya dengan jubah-jubah yang di pakai oleh negara-negara arab yang lain, namun perbezaan dapat dilihat pada bahagian leher jubah yang bulat dihiasi sulaman atau ‘mahar’ sehingga ke bahagian dada.

Bahagian leher yang bulat dihiasi sulaman disekelilingnya sehingga ke bahagian dada, serta rambu yang terjuntai merupakan ciri unik Dishdasha yang membezakan pakaian kebangsaan Oman itu daripada jubah di negara Arab yang lain.

Selain itu, perbezaan jubah Dishdasha dengan jubah dari negara arab yang lain adalah menerusi cirinya yang mempunyai rambu terjuntai dari bahagian leher pakaian berkenaan.

Dalam pada itu, lelaki Oman kebiasaannya turut mengenakan penutup kepala menyerupai kopiah yang dikenali sebagai ‘Kumma’ atau hiasan kepala seperti lilitan turban yang dipanggil ‘Massar” bagi penampilan menyeluruh.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here