Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

EMPAT pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan kemudiannya terbalik dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di Nilai pada pagi Selasa.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

Beliau berkata, empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

“Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan. – Bernama