Mahkamah tolak rayuan Khairy kes saman Anwar

0
292

MAHKAMAH Rayuan Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Khairy Jamaluddin terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi am sebanyak RM150,000.

Saman fitnah itu adalah berhubung kenyataan Khairy mengenai perlakuan tidak bermoral dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada tahun 2008.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara menolak rayuan Khairy selepas memutuskan hakim mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya membenarkan saman fitnah Anwar.

Panel jakim menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000 melalui prosiding dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Sementara itu, mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan hakim mahkamah tinggi yang menolak permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan kenyataan beliau itu adalah komen wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.

Siew Chye yang membacakan penghakiman berkata, panel mendapati rayuan Khairy tidak mempunyai sebarang merit dan ganti rugi yang diberikan oleh hakim mahkamah tinggi juga tidak berlebihan.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman fitnah dikemukakan Anwar dan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am.

Azizul turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya.

Khairy kemudian memfailkan rayuan pada Februari 2018, bagaimanapun ia ditolak Mahkamah Rayuan.

Pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy supaya merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008 dengan mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

Anwar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertindak mewakili Khairy. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here