Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Varian Omicron kini dominan di Sarawak -

Varian Omicron kini dominan di Sarawak

OMICRON kini menggantikan Delta sebagai varian yang dominan dalam penularan COVID-19 di Sarawak.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Institut Kemahiran dan Perubatan Universiti Malaysia Sarawak, Dr David Perera dalam laporan terbarunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Beliau berkata, kadar pengesanan kes positif varian Omicron daripada data pemerhatian yang dilakukan dari 3 hingga 26 Januari tahun ini telah didapati mencapai 78 peratus.

“Sebanyak 58 sampel telah diproses sepanjang tempoh itu dan daripada jumlah tersebut, 45 varian Omicron dan 13 varian Delta dikesan.

“Pengesanan pada kadar 78 peratus mencadangkan bahawa Omicron telah menggantikan Delta sebagai varian yang dominan di Sarawak,” katanya sambil menambah kes Omicron terbabit telah dikesan daripada sampel yang diambil dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.

Dr David berkata majoriti sampel yang dikaji adalah daripada BA.1.1 namun tiga kes terdiri daripada BA.2 yang lebih mudah berjangkit telah dikesan di Kapit dan kebanyakannya berlaku menerusi penularan komuniti.

Susulan peningkatan kes dalam negara, ahli Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak itu turut menasihati individu yang belum mendapatkan dos penggalak agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa suntikan dos penggalak diperlukan bagi meningkatkan tahap peneutralan antibodi yang menurun bagi melindungi diri daripada jangkitan Omicron.

Orang ramai turut diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard kesihatan dengan ketat dan mengelakkan perhimpunan komuniti jika boleh untuk mencegah penularan lanjut.- BERNAMA