Semua parti ada peluang tawan pengundi baharu

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PELUANG terbuka untuk mana-mana parti atau gabungan politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meraih undi daripada pengundi yang pertama kali layak memilih.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad berkata, trend pengundian golongan itu dalam PRN Melaka tempoh hari juga dilihat terbuka kepada semua parti.

“Perikatan Nasional (PN) mendapat banyak sokongan juga (dalam PRN Melaka), kita ambil undi-undi daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO walaupun Barisan National (BN) di Melaka juga memiliki sedikit kenaikan pengundi muda.

“Saya rasa PRN Johor apabila kita tambah lagi pengundi muda yang lain di Singapura it’s very hard to decide for determine khususnya pengundi pertama kali.

“Semua parti ada peluang untuk menawan hati pengundi pertama kali. Sebab itu saya fikir perlu ada blok yang lebih luas untuk mereka sama-sama pergi keluar kawasan,” katanya.

Seramai 749,751 dianggarkan akan menjadi pengundi baharu yang layak memilih dalam PRN Johor kali ini termasuk mereka yang berusia 18 tahun menerusi pelaksanaan Undi18.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fahysal berpendapat, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti di Melaka dikekalkan untuk PRN Johor, ia akan menyukarkan mereka mendekati pengundi muda.

“Saya fikir kalau kita berpegang kepada SOP yang konservatif seperti PRN Melaka tempoh hari tak boleh pakai baju parti dan sebagainya ia amat menyukarkan kita untuk menyantuni pengundi anak muda yang mungkin belum begitu kenal dengan PN.

“Hal-hal terbuka seperti kempen malah media arus perdana juga saya harap kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia beri laluan kepada semua parti-parti politik untuk ada suara berbahas tentang dasar apa yang ditawar kepada pengundi,” katanya.

Malah, beliau mencadangkan agar kaedah debat antara parti-parti atau calon-calon anak muda bertanding boleh diketengahkan bagi membicarakan hal yang berkaitan golongan itu.

Katanya, masalah rakyat Johor, masa depan anak muda dalam demokrasi Malaysia, masalah integriti yang ada dan sebagainya boleh menjadi antara topik debat yang akan dikupas.

Tambah beliau, sudah tiba masanya demokrasi di Malaysia diberi ruang yang luas untuk mereka berkongsi pandangan secara sihat agar ia melambangkan semangat demokrasi yang sebenar. – SB