PRN Johor: Cabar UMNO guna Najib, Zahid sebagai ‘poster boy’

0
276

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

UMNO dicabar menggunakan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ untuk Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka perlu berani jika benar UMNO masih satu parti yang harmoni dan tidak mahu berselindung di sebalik watak ‘baik’.

Jelas beliau, ini termasuk membawa nama individu bermasalah dan mereka perlu membuktikannya dengan memaparkan dua pemimpin itu sebagai ‘poster boy’.

Selain itu katanya, perkara itu juga bagi menjawab persoalan seringkali ditujukan oleh pimpinan UMNO adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu akan terus menjadi ‘poster boy’ bagi PRN kali ini.

“Mereka (UMNO) sering mempersoalkan adakah kita berani lagi untuk membawa nama Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dalam PRN Johor, ini apa punya soalan tak logik, dari awal sampai habis Tan Sri memang ‘poster boy’ kita, tiada persoalan dan tiada keraguan.

“Beliau ini (Muhyiddin) adalah sosok dan lambang utama seorang pejuang yang sanggup kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta sebagai timbalan presiden parti hanya kerana mahu mengembalikan integriti dalam negara.

“Sebab itu kalau kita memang sah akan gunakan Tan Sri, kita akan jemput secara hormat, UMNO berani?

“Cuba tampal gambar Zahid satu pelosok Johor, ada yang mungkin fikir tiga ke empat kali sebab dalam UMNO ini Presiden sebenarnya Zahid, tapi bila tampal muka dia Najib marah, tampal muka Najib nanti kalah (PRN) pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di Kahang, Kluang, malam tadi.

Wan Saiful berkata, dalam keadaan UMNO yang dilihat kucar kacir kini, pihaknya juga ingin mencabar beberapa nama pimpinan parti berkenaan untuk menamakan calon mereka sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, ketelusan sering disembunyikan itu juga terus ditonjolkan apabila UMNO sehingga kini tetap menolak nama presiden mereka yang merupakan individu utama mengepalai parti.

“Saya nak cabar balik (Datuk Seri Dr.) Puad Zarkashi, (Datuk) Nur Jazlan Mohamed dan (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin, kalau betul berani cuba sebut siapa yang kamu mahu namakan bakal Perdana Menteri daripada UMNO selepas PRU-15.

“Saya cabar tolong namakan Zahid Hamidi yang akan jadi perdana menteri daripada UMNO. Kalau pengecut tak berani sebut nama Zahid jangan duduk sentuh nama presiden daripada Bersatu,” katanya.

UMNO juga katanya, sehingga kini takut menamakan perdana menteri mereka adalah Zahid kerana kurangnya keyakinan ahli-ahli mereka kepada presiden yang sedang mempunyai kes mahkamah prima facie dan salah laku penggunaan wang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here