Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun maut dalam nahas -

Tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun maut dalam nahas

TIGA lelaki dipercayai suspek kes samun, maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki mereka merempuh tiang batu sebelum terbakar berdekatan Kampung Morak di Tumpat, Kelantan pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenda Azmir Damiri berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, seorang daripadanya dipercayai pemandu berusia 33 tahun tercampak keluar, manakala dua lagi yang belum diketahui identitinya ditemukan rentung dalam kenderaan yang terbakar.

“Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai baru melakukan samun dengan membawa lari sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di sebuah rumah dekat Kampung Palekbang.

“Siasatan awal mendapati kereta terbabit sebelum ini dinaiki empat lelaki sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan pacuan empat roda dari rumah itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.

Beliau berkata pemilik Ford Ranger yang menyedari kehadiran empat lelaki terbabit selepas terdengar bunyi enjin dihidupkan cuba menghalang, namun mangsa dilibas senjata tajam sebelum kesemua suspek melarikan diri.

“Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek menggunakan sebuah kereta jenis BMW, sebelum kenderaan Honda HRV dinaiki tiga suspek terbabas dan melanggar tiang batu di Kampung Morak menyebabkannya terbakar,” katanya.

Menurut Azmir pemilik Ford Ranger tersebut bagaimanapun terus mengejar seorang lagi lelaki yang membawa kenderaan miliknya sehingga ke Kubang Kerian sebelum kenderaan itu terbabas, namun suspek berjaya melarikan diri.

“Ketika ini kesemua mayat berada di Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1941,” katanya yang memaklumkan polis sedang mengesan lelaki yang melarikan Ford Ranger tersebut.- BERNAMA