MANA-MANA ahli Pas yang menongkah arus melanggar sumpah baiah terhadap parti itu pasti akan menerima akibatnya.
Penegasan itu dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila mengulas mengenai perbuatan segelintir ahlinya yang cuba mengubah hala tuju parti.
Menurut Abdul Hadi, beliau percaya ahli Pas yang melakukan perkara tersebut akan kembali taat kepada parti suatu hari nanti atau akan ‘jatuh disambar jerung.’
BERITA BERKAITAN: http://bit.ly/VIDEO-sempadansabarPas
“Walaupun terdapat segelintir ahli Pas yang digoda supaya mengubah hala tuju parti, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya.
“Bahkan mungkin terpelanting jatuh disambar jerung atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu,” katanya memetik laporan Berita Pas pada Selasa.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan parti lain, Abdul Hadi menjelaskan, Pas tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana dilihat seperti sudah terpesong hala tujunya.
Selain itu, beliau berkata, Pas juga tidak mahu bersama UMNO melalui pendekatan Barisan Nasional (BN) kerana menyifatkannya seperti bahtera yang bocor dan mereka tidak mahu tenggelam bersama-sama.
“Kehilangan parti lain dalam persada politik bukanlah berpunca daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh Pas tetapi disebabkan oleh kerapuhan ideologi mereka sendiri.
“Sebaliknya, Pas terus maju ke hadapan tanpa terjejas dengan pasang surut dalam menghadapi pilihan raya.
“Pas tidak pernah kecewa dalam perjuangan atau hilang perhitungan politiknya dengan sebab kekalahan Pilihan Raya Umum, sama ada pada peringkat Parlimen, negeri mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sekalipun, pernah hilang wang pertaruhannya atau terdapat ahlinya yang tercicir dalam perjalanan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.