WALAUPUN jangkaan mengenai peningkatan kes Covid-19 susulan penularan varian Omicron kini pantas menjadi kenyataan dengan peningkatan ketara, ia tidak menjadi satu perkara yang boleh mencetuskan kepanikan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika menjelaskan perkara ini, berkata, semua pihak tidak perlu panik dengan situasi semasa itu kerana kerajaan sudah mengambil langkah awal menanganinya.
“Lebih sebulan lalu, saya menyatakan bahawa jangkaan Omicron akan menjadi dominan di Malaysia seperti yang berlaku di tempat lain, dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat.
“Itulah sebabnya kami mempercepatkan program dos penggalak. Kini ramalan peningkatan itu dapat dilihat melalui peningkatan kes dengan cepat. Walaubagaimanapun, tidak perlu panik,” ciap beliau di Twitter, pada Selasa.
Beliau berkata, program vaksinasi yang dijalankan membabitkan dewasa, remaja, dan kanak-kanak tidak lama lagi dilihat menunjukkan keberkesanan.
“Penggunaan kapasiti hospital juga kekal terkawal, dan bersedia untuk menghadapi lonjakan. Ini tidak sama seperti Jun hingga September 2021 kerana kita kini lebih bersedia, lebih dilindungi melalui vaksinasi dan kami tahu apa yang perlu kami lakukan untuk melindungi mereka yang paling terdedah.
“Itulah sebabnya kita boleh memendekkan masa kuarantin, membenarkan orang ramai mengawal diri dan mengekalkan gangguan pada tahap minimum,” katanya.
Khairy berkata, kini dengan lebih daripada 50 peratus populasi dewasa dan hampir 70 peratus warga emas telah mendapat suntikan penggalak, geombang Omicron dapat dihadapi dengan baik.
“Kita mempunyai harapan besar dapat mengharungi gelombang Omicron dengan langkah yang teliti dan teratur.
“Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Dapatkan anak-anak anda vaksin. Kita boleh lakukan ini,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.