KECOH dalam kalangan warga unit di seluruh dunia baru-baru ini dengan satu imej tular kononnya tunggul kayu besar ditemui di planet Marikh.
Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti tunggul pokok tetapi ciri bulat dalam imej yang baru dikeluarkan yang dirakam pengorbit ExoMars itu sebenarnya kawah yang kaya dengan ais di Marikh.
Imej itu dirakam tahun lepas oleh kamera di atas ExoMars Trace Gas Orbiter, sebuah kapal angkasa yang dilancarkan oleh ESA dan Roscosmos, agensi angkasa Russia, yang tiba di Marikh pada 2016 dan memulakan misinya pada 2018.
Kawah dalam imej itu berada di kawasan Marikh yang dikenali sebagai Acidalia Planitia, dataran utara yang luas di planet ini. Di sinilah angkasawan fiksyen Mark Watney terkandas dalam novel dan filem “The Martian.”
Saintis kini sedang membahaskan kemungkinan bahawa dataran utara pernah mengandungi lautan besar atau permukaan air lain, mungkin dilitupi ais.
Sama seperti corak cincin pada batang pokok boleh memberi kita maklumat terperinci tentang iklim masa lalu di bumi, corak di dalam kawah mendedahkan sejarah planet merah itu, menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA).
ESA berkata, bahagian dalam kawah dipenuhi dengan mendapan yang mungkin mengandungi ais.
“Dijangkakan bahawa mendapan ini berlaku pada masa awal sejarah Marikh apabila kecenderungan paksi putaran planet membenarkan mendapan air-ais terbentuk di latitud yang lebih rendah daripada hari ini,” kata ESA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu lepas
“Sama seperti di bumi, kecondongan Marikh mencetuskan musim, tetapi tidak seperti bumi kecondongannya telah berubah secara mendadak dalam jangka masa yang panjang.”
Keretakan berbentuk poligon dan separuh bulatan dalam kawah berkemungkinan disebabkan oleh perubahan suhu bermusim yang menyebabkan bahan kaya ais mengembang dan mengecut, yang akhirnya menyebabkan keretakan.
Selain mengambil imej menarik planet merah, pengorbit mengkatalogkan gas dalam atmosfera Marikh dan memetakan permukaan untuk mencari kawasan yang kaya dengan air.
Ini akan membantu saintis mendapatkan gambaran dan memahami sengan yang lebih baik mengenai sejarah air di Marikh dan sama ada ia pernah membolehkan kehidupan berkembang.
Bahagian kedua misi itu akan dijalankan pada 2023, apabila rover baharu akan meneroka kawasan Marikh yang dianggap menyimpan lautan purba dan mencari di bawah tanah untuk melihat tanda-tanda kehidupan, kata ESA. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.