BERMULA Selasa, 1 Februari 2022, caj pengeluaran sebanyak RM1 akan dikenakan semula kepada semua pelanggan perbankan yang menggunakan mesin ATM.
Caj kepada pengguna itu melibatkan pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara bank.
Sebelum ini, pengguna menikmati pengecualian caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi mana-mana mesin ATM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Makluman mengenai penguatkuasaan semula caj tersebut telah diumumkan oleh beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC di platform media sosial mereka pada pertengahan Disember tahun lalu.
Penguatkuasaan semula caj itu telah mencetuskan pelbagai respon di media sosial.
Ada dalam kalangan warganet menyatakan caj RM1 itu akan menyebabkan orang ramai kembali beratur panjang di beberapa buah ATM malahan ramai juga yang mengkritik bank sebagai kedekut kerana tidak mampu menyerap caj RM1 itu.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.