Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
7 ditahan dipercayai terlibat aktiviti perlombongan Bitcoin -

7 ditahan dipercayai terlibat aktiviti perlombongan Bitcoin

POLIS menahan tujuh individu disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin di negeri ini dalam 44 serbuan menerusi Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bitcoin sejak 19 Januari lepas.

Ketua Polis Kedah Komisioner, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya turut merampas 3,245 mesin perlombongan bitcoin yang dianggar bernilai RM3.2 juta.

Beliau berkata, Op Letrik TNB Bitcoin dilancarkan pada 2020 di seluruh negara dan hingga kini secara keseluruhannya, Polis Kedah telah berjaya merampas 5,948 mesin bitcoin dianggar bernilai RM6.6 juta menerusi 85 serbuan.

“Modus operandi sindiket ini adalah melakukan penyambungan haram arus elektrik dan menjadikan premis perniagaan serta rumah kediaman sebagai platform untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Suspek akan menggajikan pekerja yang mahir dalam melakukan penyambungan haram dan menjaga premis mereka. Tindakan mereka ini telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik kepada masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar pada Isnin.
 
Wan Hassan berkata, harga semasa bagi seunit mesin perlombongan itu adalah RM1,000 hingga RM1,500 manakala caj penggunaan elektrik setiap mesin dianggar berjumlah RM400 hingga RM500 sebulan menerusi pengaktifan secara 24 jam.
 
Beliau berkata, kesemua individu berusia 35 hingga 45 tahun itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Polis menyeru orang ramai untuk turut sama mencegah aktiviti perlombongan bitcoin ini dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini, boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian Polis Kedah di 04-7741222,” katanya. – Bernama