RATU Elizabeth memang suka berniaga. Sebelum ini, Istana Buckingham pernah melancarkan jenama minuman beralkohol mengikut cita rasanya.
Kini, ratu berusia 95 tahun tersebut memiliki jenama sos sendiri! Menurut laporan The Sun, Ratu Elizabeth telah melancarkan dua jenis sos di bawah jenama Sandringham Estate iaitu sos tomato dan juga sos perang.
Sos tomato yang bahan-bahan diperoleh dari Ladang Sandringham miliknya di Norfolk mempunyai perisa-perisa unik iaitu buah kurma, jus epal dan juga rempah ratus.
Sos tomato yang dipasarkan oleh Ratu Elizabeth dikatakan sesuai untuk dinikmati ketika sarapan pagi atau pada bila-bila masa yang bersesuaian.
Sementara itu, untuk sos perang pula, rasa dan konsistensinya sama dengan sos stik biasa dan ia diadun dengan cuka serta rempah.
Difahamkan, sos-sos berkenaan dijual pada harga £6.99 (RM39.25) untuk 10 auns (283 gram).
Pada 2020, Istana Buckingham pernah melancarkan jenama minuman beralkohol yang mengikut cita rasa Ratu Elizabeth.
Minuman keras tersebut diproses dengan menggunakan bahan-bahan yang didapati di taman di kediamannya di London, England.
Menerusi laporan yang pernah diterbitkan oleh The Post pula, difahamkan Ratu Elizabeth gemar menikmati minuman beralkohol pada waktu pagi, diikuti dengan segelas wain atau champagne pada tengah hari dan segelas champagne atau martini kering pada sebelah malam. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.