KEKUATAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi dibuktikan dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penganalisis berpendapat, sentimen rakyat terhadap jasa dan bakti bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam proses pemulihan negara akan mendorong Perikatan Nasional (PN) memberi saingan yang kuat kepada Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menjadikan Johor kubu yang kuat bagi Bersatu.
“Sudah pasti dahulunya Perdana Menteri adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhyiddin dari Johor, kalau kita tengok PRU14 punya keputusan pun, Johor merupakan kubu kuat Bersatu.
“Itu yang menyebabkan PN rasa boleh memberi saingan yang kuat kepada BN,” katanya kepada SatuBerita.
Namun, keyakinan UMNO bagi merekod kemenangan pada PRN Johor semakin membuak-buak terutamanya selepas mereka memperoleh kemenangan di Melaka sebelum ini.
Parti yang mengetuai BN itu jelas berharap rakyat terus kekal dengan pemikiran sudah muak dengan politik, sekaligus memprotes dengan cara tidak keluar mengundi seperti yang berlaku pada PRN sebelum ini.
Jumlah pengundi yang rendah itu akan memberikan kelebihan kepada BN dan perkara itu perlu ditangani secara bijak oleh parti lawan sekiranya mahu menafikan kemenangan BN.
Bagaimanapun menurut Rusdi, PN boleh memberi saingan yang hebat dengan kebijaksanaan pengaturan strategi Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu menurutnya, kemaslahan dalaman parti Bersatu boleh diatasi dengan pengaturan strategi dan gabungan jentera Bersatu dan PAS.
“Dalam keadaan sekarang ini, bila kita tengok berlakunya pemimpin keluar dari parti, menunjukkan ada sesuatu konflik berlaku dalam Bersatu Johor.
“Sama ada PN boleh ‘survive’ dalam PRN Johor bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pemimpin Muhyiddin dan Hadi boleh mencari formula untuk memenangi hati rakyat Johor.
“Sejauh mana kekuatan Bersatu bergantung kepada kekuatan (gabungan) jentera Bersatu dan PAS,” katanya mengulas tindakan keluar parti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu.
Mohd. Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta pada Sabtu.
Mengulas lanjut Rusdi berkata, jalan yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik Malaysia adalah dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan secepat mungkin.
“Rakyat pun bosan sebenarnya dengan Pilihan Raya ini, nak taknak jalan yang terbaik untuk selesaikan kemelut politik Malaysia ini, PRU15 adalah jalan yang terbaik.
“Kalau kita tengok nak buat Pilihan Raya Negeri memberi kesan besar kepada ekonomi kita, pelabur-pelabur pun taknak datang.
“Pemimpin politik ini mereka tidak fikir tentang rakyat, mereka fikir tentang periuk nasi masing-masing,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.