Dakwaan caj tambahan 2% JKMPay tidak benar – Rina Harun

DAKWAAN terdapat caj tambahan perkhidmatan 2% kepada penerima Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Secara Tanpa Tunai atau JKMPay tidak benar sama sekali.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, melalui JKMPay, individu menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam manakala baki 50 peratus akan dimasukkan ke dalam Kad Cashless JKMPay.

“Penerima bantuan menerima sepenuhnya bantuan yang melibatkan pembahagian 50% secara tunai dan 50% secara tanpa tunai tanpa ada sebarang pemotongan atau sebarang caj dikenakan,” jelasnya.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan OKU di seluruh negara menyerahkan memorandum bantahan kepada Rina yang mendesak program itu dimansuhkan.

Mereka mendakwa pelaksanaan JKMPay itu menindas golongan OKU kerana menyekat kebebasan mereka untuk berbelanja melalui wang bantuan yang diterima.

Sementara itu katanya, keberkesanan JKMPay akan dikaji semula selepas setahun dilaksanakan menambah baik sistem sedia ada selain dapat membabitkan golongan sasaran dengan ekonomi digital ketika ini.

Sebelum ini, katanya, kajian dilakukan selepas enam bulan JKMPay dilaksanakan dan 80 peratus penerima mendapati ia berkesan.

“Bagaimanapun, kita akan teruskan kajian dalam kalangan penerima bagi melihat kekangan dihadapi.

“Kita akan nilai dengan teliti segala usul dan cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menilai semula keberkesanan pelaksanaan projek rintis JKMPay.

Program rintis JKMPay yang bermula Februari tahun lalu membabitkan 3,722 penerima baru daripada 519,409 penerima bantuan JKM. – SB