Akademi memandu perkenal modul patuh syariah pertama di Malaysia

AKADEMI Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd menjadi institusi memandu pertama di negara memperkenalkan modul patuh syariah kepada para pelajar, tenaga pengajar dan kakitangannya.

Konsep patuh syariah itu diperkenalkan menerusi lima modul iaitu aurat dan pergaulan, salah laku ketika berada di akademi memandu, muamalat, adab dan akhlak serta memantapkan ilmu agama dalam kalangan pekerja di institusi memandu.

Pengurus Akademi Memandu Nasrom Sdn Bhd Nursafriza Ab Halim berkata konsep berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama BeDaie, platform madrasah digital (e-pondok) untuk mewujudkan keselesaan dan rasa selamat kepada pelajar khususnya yang beragama Islam.

“Konsep yang diperkenalkan menerusi kerjasama ini mempunyai lima modul bertujuan memperkenalkan dan memperluaskan amalan-amalan berlandaskan syariah dan sunah, yang ditetapkan dalam ajaran agama Islam kepada kalangan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan AMN.

“Malah apabila konsep ini diketengahkan ia sekurang-kurangnya dapat mewujudkan rasa selamat kepada pelajar termasuk ibu bapa untuk menghantar anak mereka, sekali gus dapat menangkis kejadian salah laku ketika proses pembelajaran di institusi memandu,” katanya di sidang media di AMN Kampung Kedai Lalat, di sini hari ini.

Terdahulu Timbalan Exco Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kelantan Zuraidin Abdullah menyempurnakan Majlis pelancaran Akademi Memandu Nasrom patuh syariah pertama di Malaysia, yang turut dihadiri oleh Pengasas BeDaie Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani.

Sementara itu Amar Mirza berkata pihaknya menjangka modul berkenaan dapat memberi kesan dalam tempoh dua tahun, dengan lima orang tenaga pengajar di AMN akan dikhususkan untuk diberi pendedahan mengenai lima modul tersebut.

“Menerusi konsep ini pengasingan di antara tenaga pengajar dan pelajar mengikut jantina juga akan dilakukan sama ada melibatkan pembelajaran di dalam kelas atau di dalam kereta. Selain itu kita juga menyediakan tenaga pengajar untuk mengajar secara langsung mengenai hukum syariah yang betul dan jelas mengikut ajaran agama islam.

“Mengikut perancangan juga pihak kami bercadang untuk memperluaskan konsep patuh syariah ini di semua institusi memandu di seluruh negeri Kelantan sebelum ia akan diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.

Untuk rekod, BeDaie adalah sebuah platform e-pondok yang membolehkan pengguna mengikuti kelas Islamik seperti Sirah, Ibadah, Fiqh dan Al- Quran dengan penglibatan ratusan para ustaz dan ustazah serta ilmuwan agama dari pelbagai negara.

— BERNAMA