AKSI bersahaja dan kepetahan melaporkan secara langsung penemuan ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Kedah, menerusi Facebook, Muhammad Haziq Mohd Asyraf bukan sahaja popular sekelip mata, malah menerima limpahan rezeki.
Kepetahan kanak-kanak berusia 12 tahun turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin apabila dikunjungi kakitangan istana yang menyampaikan hadiah kepadanya.
Menerusi satu video dimuatnaik di Facebook, Muhammad Haziq berkata dia menerima telefon bimbit dan tablet jenama Oppo disampaikan kakitangan istana.
“Tadi kakitangan Sultan Kedah bagi hadiah, kami dapat hadiah telefon Oppo dan tablet Oppo, ada juga orang bagi duit, kotak pensil dan macam-macam lagi.
“Alhamdulillah rezeki, kami pun tak percaya sebenarnya macam mana boleh viral sehingga seperti ini. Amat-amat dahsyat,” katanya menerusi video berkenaan.
Sebelum ini ibunya, Shakilla Zainol, 33, berkata dia menerima panggilan telefon daripada pihak istana memaklumkan Sultan Sallehuddin berkenan untuk menghadiahkan anaknya telefon bimbit.
Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi menangkap ular sawa di Bukit Selambau, memaklumkan mahu memberikan sijil penghargaan buat Muhammad Haziq dalam satu program di Langkawi.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Aksi mencuit hati ‘wartawan’ cilik lapor penemuan ular sawa di Bukit Selambau
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Selepas viral laporan ular sawa, wartawan cilik buat laporan di pasar pula
Terdahulu, Muhammad Haziq juga diberikan peluang membuat laporan secara langsung bersama Astro Awani serta membuat pengumuman berkaitan suntikan ‘booster’ vaksinasi Covid-19 di sekitar Bukit Selambau menaiki van Jabatan Penerangan (JAPEN).
Pada 24 Januari lalu, SatuBerita melaporkan aksi bersahaja seorang kanak-kanak lelaki ‘melaporkan’ secara langsung penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau menerusi akaun Facebooknya menarik perhatian ramai.
Video berdurasi dua minit 47 saat itu memaparkan keletah Muhammad Haziq berkongsi cerita berhubung penemuan reptilia tersebut di dalam longkang. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.