[VIDEO] PRN Johor: PN telah gerakkan jentera, fokus pengundi muda

0
428

PERIKATAN Nasional telah menggerakkan jenteranya untuk menawan Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dijalankan.

Bagi mencapai matlamat memenangi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi dalam PRN tersebut, PN akan menjuruskan usahanya untuk menarik undi pengundi muda.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini kerana pada PRN tersebut akan ada pertambahan lebih 700,000 pengundi baru termasuk kira-kira 180,000 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun.

Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Dalam PRN itu juga, PN akan menampilkan lebih ramai calon muda, untuk bergandingan dengan pemimpin senior.

“Kami akan pastikan para pengundi faham ini bukan soal parti sahaja tetapi asas perjuangan dan pendirian PN yang menolak semua bentuk salah guna kuasa seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui media sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Shah Alam pada malam Selasa.

Menjawab cadangan akar umbi Bersatu supaya PN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Barisan Nasional (BN), Muhyiddin menjelaskan, itu hanya pandangan saja.

“Itu hanya dakwaan mereka. Saya kata, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini. Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, PN sedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak mengenai konsep kerjasama politik membabitkan gabungan parti lain sama ada membabitkan PH atau BN dalam PRN kelak.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak tahu apa tujuan mereka. Biasa sikap kita terbuka dengan pandangan orang. Kita tak mudah nak tolak,” katanya.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN. – SB