Maut selepas suntik besarkan otot punggung

SEORANG lelaki ditemukan mati selepas dikatakan selesai mendapatkan suntikan untuk membesarkan punggungnya di Teluk Intan, Perak.

Lelaki yang dikenali dengan perwatakan lembut berkenaan dilaporkan mendapatkan khidmat berkenaan daripada seorang peniaga kosmetik wanita dari Melaka di di sebuah hotel di sini pada pada pukul 10 pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 3 petang berkenaan mangsa berusia 31 tahun disedari tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa datang ke hotel berkenaan dengan ditemani rakannya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan membuat janji temu bersama wanita dari Melaka berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.

“Pada jam 12 tengah hari selepas selesai suntikan, mangsa meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat. Ketika itu mangsa ditemani rakannya manakala wanita terbabit keluar hotel untuk pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun pada jam 3 petang, wanita itu kembali semula ke hotel selepas dimaklumkan mangsa tidak bernafas dan tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan oleh pegawai kesihatan yang hadir ke lokasi dan mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan paru-paru bengkak dan berair.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya. – SB