Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
45 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung belum dipadam -

45 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung belum dipadam

MASIH terdapat kira-kira 45 peratus daripada 11.5 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar sejak hampir dua minggu lalu perlu dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sehubungan itu, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya tidak dapat menjangkakan bila usaha memadam kebakaran yang dikategorikan bencana tahap satu tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya.

Begitupun ujar beliau, pihaknya kini yang mendapat bantuan pelbagai agensi lain sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut.

Jelas beliau, selain menggunakan air, usaha memadamkan kebakaran di tapak itu turut menggunakan tanah yang disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Kira-kira 50 hingga 60 lori tanah sehari turut digunakan untuk memadamkan kebakaran.

“Setakat ini, kita tidak boleh memberikan jangkaan bila kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya, namun kita cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Mertajam hari ini.

Usaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu memasuki minggu kedua kini selepas mula dikesan terbakar sehingga mengeluarkan asap tebal dan hitam petang 12 Januari lalu.

Bencana itu juga menyebabkan 400 penduduk daripada kira-kira 90 buah keluarga yang tinggal di dua kawasan berhampiran tapak tersebut diarahkan berpindah dengan sebahagiannya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam perkembangan lain, Saadon berkata, kes, kematian atau kecederaan akibat kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas 24 jam di Pulau Pinang pada tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Misalnya tambah beliau, kes kebakaran melibatkan bangunan, belukar dan sebagainya berkurangan kepada 51 kes tahun lali berbanding 54 kes (2020). – SB