Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

0
220

SEBUAH lori yang mengalami masalah brek merempuh enam buah kenderaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima video tular berkaitan kejadian pukul 4.20 petang.

Kejadian tersebut dirakam penduduk berhampiran sebelum tular dalam Facebook sejak semalam.

“Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku semasa sebuah lori yang membawa muatan tanah dari arah tapak pembinaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park.

“Ketika melalui Jalan Kerinchi berhampiran lampu isyarat pejalan kaki, sistem brek lori berkenaan dipercayai gagal berfungsi lalu melanggar kenderan yang sedang dipakir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan terbabit menggelongsor serta melanggar kenderaan lain.

“Siasatan turut mendapati lori tersebut juga telah melanggar tiga kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Bagaimanapun, semua pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori berusia 49 tahun itu ditahan selepas kejadian dan menjalani ujian pernafasan alkohol (EBA).

“Hasil dari ujian mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan keputusannya negatif,” katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999.

“Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here