Tempoh permohonan bantuan URUS dilanjutkan hingga 31 Mac

0
127

ORANG ramai terutama golongan B50 masih boleh membuat permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) selepas bantuan itu dilanjutkan selama dua bulan lagi sehingga 31 Mac 2022.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, pelanggan B50 yang layak dan memerlukan lanjutan bantuan kewangan boleh memohon dengan bank masing-masing.

Menurut kenyataan itu, pelanggan individu yang berada di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada disediakan bank pada 30 September 2021 dan memenuhi semua kriteria ditetapkan juga boleh memohon untuk URUS.

Kata kenyataan itu, kriteria yang ditetapkan termasuk pelanggan B50 mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM5,880 atau rendah dan mereka yang kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus.

Selain itu, individu yang masih melunaskan pembayaran kemudahan pinjaman atau pembiayaan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan URUS.

Tambahnya, pelanggan yang ingin memohon bantuan itu boleh berbuat demikian melalui saluran perbankan internet atau perbankan telefon bank mereka atau boleh terus datang ke cawangan.

“Bagi memudahkan proses permohonan, pelanggan yang mempunyai kemudahan pinjaman/pembiayaan daripada beberapa bank hanya perlu memohon kepada mana-mana bank mereka yang mana mereka kini mempunyai kemudahan di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memaklumkan, tarikh tutup permohonan URUS bagi pelanggan B50 yang telah mendaftar untuk program bantuan banjir bank turut dilanjutkan kepada 31 Julai atau selepas tamat tempoh program bantuan banjir, yang mana lebih awal.

Untuk butiran lanjut, sila rujuk Soalan Lazim mengenai URUS yang boleh didapati di laman web bank dan di cawangan mereka, serta di persatuan perbankan dan laman web AKPK.

“Bank kekal komited untuk membantu pelanggan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, dan sedar bahawa pelanggan memerlukan masa untuk bangkit semula dari segi kewangan apabila ekonomi beransur pulih.

“Pelanggan yang masih memerlukan bantuan kewangan tetapi tidak layak untuk URUS digalakkan untuk menghubungi bank mereka untuk bincangkan pengaturan pembayaran balik lain yang boleh disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka

“Kami ingin mengingatkan pelanggan agar tidak terbabit dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mereka ejen/wakil bank berkaitan urusan bantuan pembayaran balik. Bank dan AKPK tidak melantik atau memberi kuasa mana-mana pihak ketiga atau ejen untuk bertindak bagi pihak mereka untuk tujuan ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here