Premis keluarkan produk kesihatan, ubatan tradisional guna logol halal tidak sah diserbu

0
348

PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai bahan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kesihatan serta ubatan tradisional yang menggunakan logo halal tidak diperakukan.

Rampasan bernilai kira-kira RM54,000 itu dilakukan susulan serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan hasil aduan daripada orang ramai itu berjaya merampas sebanyak 4,392 unit minyak bijan; 3,192 unit minyak biji sawi; 7,968 unit air ros; 2,580 unit air lemuju (air tonik atau herba) dan 5,916 unit kapur.

“Secara keseluruhan, jumlah sitaan atau rampasan barangan itu dianggarkan bernilai RM54,402.90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk kategori bukan pertubuhan atau perbadanan.

Serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Katanya, kesalahan kedua dan seterusnya bagi kategori yang sama boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertubuhan atau perbadanan pula tambah beliau, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM 500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan para peniaga supaya lebih beretika serta tidak menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui oleh pihak berkuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah menggunakan logo halal tanpa kebenaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai melaporkan kesalahan tersebut dengan menghubungi bilik gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245 atau melalui portal e-aduan atau melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019-2794317. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here