Malaysia cari solusi holistik perangi perhambaan moden

0
233

MALAYSIA komited untuk terus memerangi perhambaan moden secara holistik agar mangsanya dapat dilindungi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, fokus kerajaan bukan semata-mata untuk mengurus kemasukan pekerja asing tetapi melihat kaedah berkesan untuk mengurangkan masalah pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

“Jadi sebab itu saya hadir bersama tokoh-tokoh dari negara kita. Saya bawa mereka untuk selesaikan masalah perundangan dalam waktu sama mahu maklumkan apa yang kita lakukan,” katanya.

Hamzah berkata demikian di majlis makan malam bersama lebih 100 diaspora Malaysia di Jakarta, Indonesia pada Isnin sempena lawatan kerjanya.

Beliau diiringi Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani danan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Hamzah turut menjelaskan pemerdagangan manusia dan buruh paksa merupakan isu rentas sempadan yang berlaku di kebanyakkan negara sama ada negara maju atau membangun.

Bagimanapun, perkara ini masih belum dapat diselesaikan meskipun terdapat pelbagai undang-undang yang digubal Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata kerajaan sedang memperbaharui pengurusan pekerja asing dengan memperkenalkan sistem e-locker dan menubuhkan Pasukan Nukleus Single Border Agensi untuk memantapkan kawalan pintu-pintu masuk negara.

Program Malaysia My Second Home atau MM2H turut ditambahbaik untuk memastikan hanya warga asing yang berkualiti layak menikmati kemudahan itu.

“Kami akan berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan masalah-masalah sempadan negara,” tegas Hamzah.

Dalam rangka lawatannya, Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Indonesia, Muhammad Tito Karnavian dan Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono.

Beliau berkata Malaysia dan Indonesia bersepakat membanteras penangkapan ikan secara haram di sempadan perairan kedua negara melalui rondaan bersama.

“Operasi yang dilakukan bukan untuk mencegah nelayan negara lain, tetapi nelayan dari negara kita sendiri yang tidak mahu mengikuti undang-undang,” katanya– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here