Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Harap golongan muda guna hak Undi 18 dengan bertanggungjawab - Ahmad Faizal -
Faizal Azumu

Harap golongan muda guna hak Undi 18 dengan bertanggungjawab – Ahmad Faizal

GOLONGAN muda yang mengundi menerusi pelaksanaan Undi 18 diingatkan agar menggunakan peluang itu dengan bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hak itu yang bakal dilaksanakan bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu digunakan secara baik dan diambil serius oleh golongan muda demi masa depan dan kepentingan negara.

“Saya percaya kita akan lihat (Undi18) pada PRN Johor tak lama lagi. Ia agak menarik bagi kami untuk melihat bagaimana kecenderungan anak-anak muda berumur 18 tahun ke atas, menggunakan hak baharu mereka dengan bertanggungjawab.

“Ini sesuatu yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa ingatkan, supaya hak baharu ini bukan untuk cuba mencuba, untuk gurau diguraukan atau dimain-mainkan, tetapi diguna dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara di Bangi, hari ini.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Dis menyatakan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas berkuat kuasa pada 15 Dis lepas.

Berikutan itu, dilaporkan bahawa berlaku pertambahan lebih kurang 700,000 pengundi baharu dalam kalangan anak muda yang layak mengundi pada PRN Johor, meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi secara keseluruhan.