Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.
Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Presiden UMNO itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.
Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.
Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.
“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.
Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.
“Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.
Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.
Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.
Hakim berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.
Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.
“Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.
“Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.
Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.
Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada 3 Feb.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.