PRN Johor: BN dijangka menang selesa, majoriti dua pertiga?

0
441

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad semasa berucap semasa Taklimat Pilihanraya MIC Johor di Johor Bahru, semalam, memberitahu, Sultan Johor mudah memberikan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kelmarin.

“Sultan Johor tidak banyak soal, tidak banyak pertanyaan, baginda setuju bubar DUN dan serahkan semula mandat kepada rakyat,” katanya.

Keadaan itu seakan-akan tenang ‘di atas’ tetapi sebenarnya bergolak ‘di dasarnya’. Ini kerana pembubaran DUN Johor masih lagi mengejutkan ramai pihak kerana tidak menyangka langkah tersebut diambil walaupun Johor antara negeri tertinggi kadar jangkitan Covid-19 ketika ini.

Tanpa mempedulikan nyawa rakyat dan risiko Covid-19 di Johor serta tidak hirau sains atau data bahawa varian Omicron membiak dengan amat pantas mengalahkan Delta, apa yang lebih penting adalah mengukuh hegemoni UMNO.

Objektif UMNO bukan sahaja untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) tetapi juga mahu hapuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari bumi Johor-iaitu tempat lahirnya parti Bersatu.

Sejak pembubaran DUN kelmarin, boleh dilihat dalam setiap sidang akhbar atau ucapan Hasni akan menebak persoalan atau memberikan alasan PRN Johor perlu diadakan kerana kerajaan campuran BN, Bersatu dan Pas pimpinan beliau di Johor hanya ada satu kelebihan kerusi.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberikan contoh semasa membuat satu keputusan dalam sidang DUN Johor baru-baru ini, keputusan tidak dapat dibuat kerana tergantung kerana masing-masing kerajaan dan pembangkang memberikan 27 undi.

Namun keputusan itu memihak kepada kerajaan sebelum ini dan Hasni tidak menyatakan pula ‘kekurangan satu kerusi’ itu tidak menghalang pembangkang sepakat meluluskan Belanjawan Johor 2022 dan meluluskan pindaan calon usia 18 bertanding dalam pilihan raya dalam sidang DUN.

Ini dijadikan Hasni dan pemimpin UMNO Johor ‘modal’ dalam konteks ‘matlamat menghalalkan cara’. Ini adalah cara dan strategi mereka dalam mengalih isu utama mengapa PRN itu perlu dilakukan dalam keadaan pandemik dan pascabanjir yang masih menekan hidup rakyat Johor.

Umum mengetahui rata-rata rakyat Johor tidak bersetuju PRN diadakan. Masanya tidak sesuai dan alasan untuk mendapatkan mandat rakyat juga tidak boleh dipakai kerana alasan itu sangat rapuh – malah tidak berpijak di bumi nyata.

PRN Johor adalah pertama kali dalam sejarah negeri itu. Walaupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 membenarkan DUN dibubarkan, tiada siapa mahukan PRN kecuali pihak ‘kolonial UMNO’ yang terus mahu menjarah dan menjajah untuk mendapatkan kuasa politik.

Walaupun Hasni yakin menang PRN ini dengan jangkaan majoriti dua pertiga, sebenarnya UMNO dan BN tidak akan semudah itu diberikan laluan untuk menjadi dominan dalam ‘menguasai’ pusat pentadbiran ibu negeri di Iskandar Puteri.

Bersatu selain blok pembangkang seperti PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan memberikan tentangan sengit dalam PRN ini yang jauh lebih mencabar berbanding PRN Melaka, Sarawak atau Sabah.

Ramai menjangkakan strategi PRN Johor akan menyaksikan peratusan keluar mengundi akan rendah sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Meskipun jangkaan atau ramalan peratusan keluar mengundi belum dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berdasarkan strategi itu tidak mustahil krisis kepercayaan masyarakat Johor bakal memberi impak terhadap peratusan keluar mengundi.

BN juga dilihat yakin dan ‘selesa’ kerana walaupun Johor menjadi antara negeri terjejas teruk akibat banjir, tidak ada isu berkenaan bantuan banjir kerana beranggapan perkara itu sudah diselesaikan. Jadi isu banjir tidak akan menjejaskan peluang mereka dalam PRN ini.

Jika isu Covid-19 akan mendominasi pentas politik PRN Johor, ini juga dirasakan tidak mempunyai impak kerana seluruh negara berdepan pandemik itu. Begitu juga isu insiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara yang sudah disambung semula minggu lalu.

Semua isu itu tidak akan menjadi masalah kepada BN, namun gabungan itu tetap menempuh laluan berliku dan tajam terutama kira-kira 20 kerusi DUN yang didapati kelabu dan hitam sekali gus mustahil untuk dimenangi semula.

Kerusi-kerusi kelabu dan hitam itu antaranya di DUN Skudai, Senai, Bukit Batu, Johor Jaya, Yong Peng, Bekok, Bukit Batu, Mengkibol, Bakri dan Perling yang kebanyakannya kawasan bandar serta pinggir bandar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN hanya mengalami kekalahan teruk di kerusi-kerusi tersebut contohnya di Skudai kecundang dengan majoriti 35,126 undi; Puteri Wangsa (24,959); Mengkibol (19,226) dan Senai (18,902).

Bersatu sekiranya bergabung dalam blok pembangkang akan membentuk satu pasukan yang kukuh sekali gus mampu merobohkan benteng BN dan tidak mustahil akan kembali semula ke tampuk pemerintahan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here