Polis tahan 73 individu, rampas dadah bernilai RM41,366

0
379

POLIS Melaka menahan 73 individu berumur antara 23 hingga 64 tahun dalam satu operasi selama tiga hari bagi membersih dan membanteras penyalahgunaan dadah di Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Melaka Superintenda Zulkiflee Rashid berkata, operasi tiga hari itu dijalankan pada Jumaat lepas hingga semalam di Pot Krubong, Melaka Tengah dan Pot Apache, Alor Gajah yang disyaki menjadi tumpuan penagih dadah di kedua-dua daerah.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 953.03 gram (g) heroin, 73.3 g syabu dan 13.60 g ganja dirampas dianggarkan bernilai RM41,366.

“Seramai enam pengedar dadah juga ditangkap dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkiflee berkata, JSJ Narkotik Melaka akan terus berusaha membersihkan sarang penagihan dadah di kedua-dua daerah tersebut walaupun masih ada penagih yang berdegil melepaskan gian di lokasi tersebut.- BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here