Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPM peruntuk RM48 juta bina bangunan baharu SK Rampayan -

KPM peruntuk RM48 juta bina bangunan baharu SK Rampayan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan RM48 juta bagi membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal, Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pembinaan bangunan sekolah itu akan dilakukan di tapak baharu seluas 20.2 hektar iaitu tanah rizab pendidikan di Kingfisher, Likas.

Beliau berkata, pembinaan bangunan baharu itu juga bagi menggantikan bangunan sekolah sedia ada yang dikategorikan sebagai daif, selain sering berdepan masalah banjir.

“KPM dan Jabatan Kerja Raya sedang menyelesaikan beberapa urusan teknikal. Kita harap pelaksanaannya dapat dipercepatkan kerana sekolah ini berdepan dua isu besar iaitu sering dilanda banjir dan sekolah daif yang perlu dinaik taraf segera.

“Bangunan (baharu) sekolah ini akan dipindahkan ke tapak baharu seluas 50 ekar (20.2 hektar) kerana tempat sekarang (bangunan sedia ada) sudah tidak dapat menampung (murid), ia (keluasan sekolah) hanya lebih satu ekar (0.4 hektar) sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya sempena Lawatan Tindak Susul Parlimen di Sabah, hari ini.

Terdahulu, Mohamad turut mengadakan lawatan ke sekolah rendah itu dan IPG Kampus Kent di Tuaran bagi meninjau kemudahan-kemudahan infrastruktur diperlukan di institusi terbabit untuk keselesaan pelajar dan kakitangan.

Mengenai lawatan ke IPG Kampus Gaya, Mohamad berkata ia bertujuan meninjau status pembinaan fasa dua bangunan pentadbiran baharu yang dilengkapi dengan dewan serbaguna, auditorium dan tempat letak kereta, memandangkan ia sudah siap dibina namun masih belum boleh digunakan.

Beliau berkata bangunan pentadbiran enam tingkat yang mula dibina pada Jun 2019 dengan kos RM58 juta itu akan menempatkan pengurusan tertinggi, pensyarah dan kakitangan pengurusan IPG Kampus Gaya.

IPG Kampus Gaya yang dibangunkan pada 1963 kini mempunyai 1,045 pelajar sepenuh masa dan 305 pelajar separuh masa.- BERNAMA