Duit kemenangan buat tebus barang kemas

0
424

MESKIPUN sekadar mendapat tempat keempat dalam program Gegar Vaganza ke-8 (GV8), penyanyi Adibah Nor bersyukur kerana dapat menggunakan wang kemenangan tersebut untuk melangsaikan hutang.

Dia yang membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM200,000 dan trofi sumbangan Astro akan menebus kembali barang kemas yang digadai semasa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

Seperti mana yang diketahui umum, Adibah pernah mengaku terpaksa meminjam dan menggadaikan barang kemas untuk meneruskan hidup sepanjang ketiadaan sebarang tawaran pekerjaan.

“Saya tidak malu mengaku tentang perkara tersebut dan semua orang pun sudah tahu bagaimana saya melalui kehidupan semasa PKP.

“Duit kemenangan ini saya akan gunakan untuk bayar semua hutang yang telah saya pinjam sebelum ini dan tebus kembali barang kemas.

“Selain itu akan simpan sedikit dan jika ada lebih saya mahu bercuti rehatkan diri,” katanya bercerita.

Menariknya perkongsian yang dibuat Adibah mengundang sebak kepada umum memandangkan inilah realiti yang perlu dihadapi oleh anak seni.

Apa yang dilaluinya juga dijadikan pelajaran dan pengajaran untuk menjadi manusia yang lebih kuat pada masa hadapan.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu gembira dapat melangsaikan tanggungjawab sebagai peserta dalam GV8.

Dia juga belajar untuk tidak terlalu cepat menilai dan bersikap judgmental seperti kebanyakan orang.

“Sebelum ini saya selalu dilihat berbisa apabila menulis dalam media sosial. Program GV8 membuatkan saya sedar dan tidak lagi bersikap judgemental. Apa sahaja berlaku lebih baik diam dan telan sahaja.

“Setiap orang ada tuntutan kerja masing-masing, biarlah mereka lakukan kerja mereka. Melalu program ini juga saya mula memahami netizen kita.

“Apa yang mereka komen adalah berdasarkan apa yang mereka lihat. Saya menerima dengan hati yang terbuka,” kata Adibah jujur.

Terdahulu dalam konsert final GV8, Adibah menyanyikan lagu Seroja secara solo dan berduet menerusi lagu Kau Di Hatiku  bersama Datuk Zainal Abidin.

Dia juga menyanyi lagu Kami Rappers bersama Azan Scan dalam pusingan battle.

GV8 menyaksikan Aliff Aziz diangkat sebagai juara menewaskan lima finalis yang lain. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here