PRN Johor: Bersatu adakan mesyuarat dalam tempoh terdekat

0
236

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, bagi membincangkan secara terperinci Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata mesyuarat berkenaan akan disertai semua 26 ketua bahagiannya selain jentera pilihan raya negeri.

“Bersatu Johor pimpinan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti, akan bermesyuarat bagi membincangkan secara terperinci PRN Johor yang bakal diadakan.

“Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa perkara berkaitan termasuklah persiapan dan persediaan jentera bagi menghadapi PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan GERAKAN selaku komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Johor juga akan diadakan bagi tujuan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuat kuasa semalam, bagi memberi laluan kepada PRN, diadakan.

Ia selepas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, diperkenan menghadap Sultan Johor bagi memaklumkan sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN, di Istana Bukit Serene petang semalam.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata, Bersatu Johor menjunjung kasih dan mengambil maklum pembubaran DUN Johor yang telah mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim bagi memberi laluan PRN Johor untuk diadakan.

“Sebagai sebuah parti berdaftar, Bersatu Johor sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara dan amalan demokrasi serta menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Bersatu Johor sentiasa meletakkan soal kemaslahatan negeri dan rakyat sebagai keutamaan sekali gus akan terus memberikan khidmat demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here