Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin mohon rakyat doakan Dr. Mahathir diberi kesembuhan -

Muhyiddin mohon rakyat doakan Dr. Mahathir diberi kesembuhan

TAN Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya seluruh rakyat mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) diberi kesembuhan dan kembali sihat.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut berdoa supaya Dr. Mahathir dipermudahkan urusan rawatan.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar urusan rawatan Dr. Mahathir dipermudahkan dan beliau diberi kesembuhan serta kesihatan,” katanya dalam poster dimuat naik dalam media sosial, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir dilaporkan sekali lagi dimasukkan ke IJN untuk menerima rawatan.

Beberapa media turut melaporkan Ahli Parlimen Langkawi itu dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) pusat perubatan berkenaan.

Anak bekas Perdana Menteri itu, Datin Paduka Marina dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan kesihatan Dr. Mahathir kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lalu.

“Keadaan beliau kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan tersebut.

“Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya,” kata Marina.

Puluhan wakil media mula berkumpul di luar IJN sejak 12 tengah hari semalam bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.

Dr Mahathir, 96, sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari.

Lapor Bernama, pada 8 Januari, beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.