KPM disaran sedia garis panduan elak guru bawa ideologi politik ke sekolah

0
335

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) disaran menyediakan garis panduan atau peraturan dalam hal melibatkan kebenaran kepada guru untuk berpolitik bagi mengelak golongan pendidik membawa ideologi politik ke sekolah.

Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Hanafi Mohd Yasin berpendapat perkara itu perlu bagi mengelakkan tercetusnya suasana tidak sihat sekiranya ideologi berkenaan dibawa ke institusi pendidikan tersebut.

Beliau berkata walaupun keputusan untuk membenarkan penglibatan guru berpolitik wajar dan selari dengan prinsip demokrasi, garis panduan itu perlu disediakan bagi memastikan guru tidak mengabaikan tugas hakiki mereka.

“Sebagai contoh, KPM boleh memperuntukkan masa untuk guru berpolitik, seperti dalam satu minggu hanya beberapa jam guru boleh berpolitik untuk mengelakkan tugas sebagai guru tidak terganggu.

“Kerajaan juga perlu meletakkan ‘general order’ yang mana ideologi politik tidak boleh dibawa di dalam sekolah…pengetua dan guru besar perlu memantau guru-guru ini. Walaupun mereka juga berpolitik, mereka perlu mematuhi garis panduan disediakan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.

Mengulas lanjut, Mohd Hanafi optimis penglibatan guru dalam politik dapat membuka peluang kepada guru untuk menyumbang idea lebih kreatif dalam hal pembangunan serta memupuk komuniti politik yang sihat memandangkan kebanyakan pendidik di negara ini adalah graduan ijazah yang diiktiraf.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM Dr Anuar Ahmad yang turut menyambut baik keputusan itu berpendapat guru perlu bijak menjaga profesionalisme perguruan.

“Pihak KPM perlu segera mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi memastikan semua pihak seperti pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa faham implikasi kebenaran berpolitik dalam kalangan guru kepada pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Anuar berkata agensi berkaitan perkhidmatan awam juga perlu menambah baik garis panduan termasuklah melakukan semakan kepada dokumen Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] sebagai panduan kepada guru yang ingin terlibat aktif dalam politik. 

Bagi seorang guru Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Menengah Agama Jawahir Al-Ulum, Batu Pahat, Johor, Nor Azman Mat Tayab, 34, berpendapat keputusan membenarkan guru untuk terlibat dalam politik merupakan berita baik bagi mereka selain dapat memenuhi hak asasi seorang guru untuk lebih bebas bersuara.

“Berdasarkan pengalaman saya dari zaman universiti lagi ada beberapa kawan saya meminati politik tetapi terbatas dan saya dengar sendiri rakan-rakan saya menyambut keputusan ini sebagai berita gembira,” katanya ketika dihubungi.

Namun, berbeza pula bagi Tey Ah Ho, 55, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Sulaiman, Batu Pahat, Johor, apabila beliau memaklumkan kerisauannya terhadap prejudis apabila guru terlibat dalam arena politik.

Jelasnya, setiap guru perlu berlaku adil kepada murid-murid selain berfikiran rasional dan profesional walaupun berbeza parti politik antara ibu bapa dan pendidik kerana pelajar berhak mendapat pendidikan terbaik di sekolah.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here