KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mendedahkan, seramai 1,776 pegawai dan anggota JBPM di seluruh negara dilaporkan dijangkiti Covid-19.
Menurut beliau, statistik tersebu sejak virus itu melanda negara pada Januari 2020 dan selepas hasil ujian saringan ke atas 7,200 pegawai dan anggota yang disyaki (PUI) dijangkiti atau kontak kepada kes (PUS).
Mohammad berkata, daripada jumlah kes positif, dua pegawai meninggal dunia akibat Covid-19.
“Sebanyak 95 peratus mereka yang positif disebabkan jangkitan daripada komuniti, sementara lima peratus adalah dari tempat mereka berkhidmat.
“Kes ini sama ada mereka berkontak rapat daripada rakan, ataupun daripada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2022, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, dua pegawai yang meninggal dunia dikesan jangkitan daripada komuniti dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.
Berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 pula, beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari tahun lalu telah memberi harapan dan perlindungan kepada daya tahan jangkitan dalam anggota bomba menjalankan tugas.
Sehingga 31 Disember 2021 katanya, sejumlah 99 peratus warga jabatan ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Digalakkan juga warga untuk mendapatkan dos penggalak agar kita boleh dilindungi daripada varian baharu yang difahamkan tular dengan pantas,” katanya.
Beliau berkata, warga JBPM yang masih belum menerima suntikan vaksin telah dikenalpasti sebagai mereka yang tidak layak untuk menerima dos suntikan.
Situasi itu jelasnya kerana faktor masalah kesihatan, dan kesemua individu tersebut akan terus dipantau dengan rapi.
“Saya mengambil peluang untuk menasihatkan semua warga JBPM untuk mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Ia sejajar dengan arahan pihak kerajaan semasa menjalankan operasi,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.