Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin dedah butiran permintaan Najib untuk percubaan campur tangan kehakiman dalam surat kepada peguam -

Muhyiddin dedah butiran permintaan Najib untuk percubaan campur tangan kehakiman dalam surat kepada peguam

TAN Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan butiran untuk menyokong dakwaannya yang mengatakan wujud percubaan meminta beliau campur tangan dalam proses kehakiman membantu ahli politik Umno berhubung dakwaan rasuah dan difahamkan isu tersebut timbul lagi susulan kenyataan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tengku Mat.

Dalam respons beliau terhadap notis tuntutan daripada peguam Datuk Seri Najib Razak, Muhyiddin turut menamakan “seorang peguam kanan” yang menjadi sasaran bekas pemimpin yang sudah disabitkan bersalah itu.

Bekas Perdana Menteri ini berkata, beliau didekati Najib dan beberapa orang perantaranya untuk memohon supaya individu itu digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berjalan.

“Walaupun mengugut dengan saman fitnah, tiada tindakan susulan daripada pihak Najib selepas respons yang diberikan Muhyiddin,” kata sumber dalaman Umno yang rapat dengan kem Najib, memetik laporan MalaysiaNow.

Pada September, Muhyiddin menerima surat tuntutan daripada peguam Najib, mendesaknya untuk menjelaskan sama ada beliau merupakan dalang di sebalik “khabar angin” yang mengatakan Najib meminta beliau untuk campur tangan dalam kes mahkamahnya.

Muhyiddin menerima surat tuntutan itu beberapa hari selepas beliau mendedahkan mengenai sekumpulan ahli politik yang cuba meminta beliau untuk campur tangan dengan kes rasuah yang melibatkan mereka.

Presiden Bersatu itu membuat dakwaan tersebut pada Ogos tahun lalu, ketika kempen Najib dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menumbangkan pentadbirannya sedang memuncak.

Ia disusuli dengan desakan jurucakap Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang mahu Najib dan Zahid tampil menjelaskan dakwaan yang mengatakan mereka adalah orang yang dimaksudkan Muhyiddin.

Kedua-dua Najib dan Zahid jika dicampurkan, berdepan lebih dari 80 pertuduhan jenayah berkait salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Walaupun Muhyiddin menjadi perdana menteri dengan sokongan Umno pada Mac 2020, beliau bagaimanapun berikrar untuk tidak mencampuri kes mahkamah melibatkan sekumpulan ahli Parlimen Umno, yang turut dikenali sebagai kluster mahkamah. – SB