Mengaku tipu berkait urusan kerakyatan, jual beli telefon

0
400

SEORANG pengurus kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas empat tuduhan menipu dua individu bagi urusan mendapatkan dokumen kerakyatan dan jual beli telefon pintar.

Tertuduh, G. Ananda Raj, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd. Suah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 27 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman dan penyerahan dokumen.

Ananda dituduh menipu seorang wanita Indonesia hingga mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000 bagi urusan mendapatkan dokumen kerakyatan negara Malaysia bagi anak wanita itu.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Semambu 66, di sini pada 12 tengah hari, 26 September 2020.

Dia juga menghadapi tiga lagi pertuduhan menipu seorang peniaga lelaki berusia 28 tahun bagi pembelian telefon pintar iPhone 12 Pro Max tidak wujud pada 12.24 tengah hari, 4 Mei 2021, berhampiran sebuah stesen minyak di Tanah Putih, Kuantan yang mendorong mangsa memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank diberi tertuduh.

Pada 12.20 tengah hari, keesokan harinya di Jalan Alor Kangkong, Kuantan, tertuduh juga memperdaya mangsa sama untuk menyerahkan RM1,000 bagi mendapatkan hadiah percuma termasuk telefon bimbit dan komputer riba.

Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa menipu peniaga itu pada 14 Mei 2021, sehingga mangsa menyerahkan RM400 yang dimasukkan ke akaun bank diberi tertuduh sebagai bayaran untuk kos penghantaran dan insurans barangan tidak wujud.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, berserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafidza Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here