Pulau Pinang tapak baharu Parti Warisan?

0
339

BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila veteran DAP Pulau Pinang, Datuk Danny Law Heng Kiang yang sudah lebih 35 tahun bersama parti itu tiba-tiba mengumumkan meninggalkan parti tersebut.

Malah, meskipun masih berteka-teki mengenai hala tuju baharu politiknya selepas meninggalkan DAP, ramai yang sudah dapat mengagak rencana politik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang berkenaan selepas ini.

Pertengahan Disember lalu, kelibat Danny Law, 61, didakwa antara ribuan yang hadir pada majlis pengenalan dan pelancaran Parti Warisan Sabah (Warisan) di Georgetown, Pulau Pinang.

Pada majlis yang dirasmikan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu, seramai 1,500 orang termasuk beberapa tokoh politik tempatan diumumkan sebagai ahli baharu Warisan di Pulau Pinang.

Sebab itu ramai yang menjangkakan Danny Law yang mula aktif  bersama DAP Pulau Pinang sejak 1986 akan menyertai parti Warisan dan bakal dilantik antara pemimpin kanan parti tersebut di Pulau Pinang.

Desas-desus bertiup kuat menyatakan Danny tidak bersendirian kerana beberapa tokoh politik DAP lain di Pulau Pinang dikhabarkan akan mengikuti jejak langkahnya menyertai Warisan.

Selain pemimpin DAP, beberapa tokoh politik daripada PKR dan Gerakan juga dikatakan bakal berhijirah dan dilantik antara pemimpin kanan Warisan di Pulau Pinang.

Perkara ini jika menjadi kenyataan merupakan satu kejayaan besar buat Warisan sebagai parti politik yang berlatarbelakangkan penduduk Sabah dalam melebarluaskan pengaruh mereka dalam kalangan penduduk Semenanjung.

Meskipun angka 1,500 orang yang didakwa menjadi ahli baharu bukan jumlah yang besar, namun ia merupakan permulaan yang cukup baik untuk parti Warisan bertapak di Pulau Pinang.

Begitupun masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana parti itu dapat menggugat dominasi DAP di Pulau Pinang.

Namun dengan penyertaan veteran DAP sendiri dan beberapa nama besar daripada PKR dan Gerakan kelak, pemimpin DAP Pulau Pinang tidak boleh memandang mudah saingan daripada Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Gelombang kemarahan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14 meskipun tidak menumbangkan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang, namun turut memberi kesan kepada parti tersebut di negeri itu.

Apatah lagi DAP Pulau Pinang sendiri berdepan pelbagai isu tempatan yang mengundang rasa tidak puas hati rakyat termasuk isu terowong dasar laut dan projek tambakan laut.

Sehubungan itu, kemunculan satu lagi parti politik baharu di Pulau Pinang yang didominasi pula oleh etnik Cina tidak akan memberi kelebihan kepada DAP pada PRU-15.

Situasi itu akan mewujudkan persaingan beberapa penjuru kepada calon DAP yang kini sudah sedia ditentang calon beberapa parti seperti MCA; Gerakan; Parti Cinta Malaysia (PCM); Parti Sosialis Malaysia (PSM); Parti Bersatu Malaysia (MU); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan banyak lagi.

Bagi parti yang sering dirujuk paling berpengaruh di Pulau Pinang, meskipun dilihat masih mampu menguasai kerajaan negeri pada PRU-15, namun kekurangan majoriti undi juga merupakan kekalahan moral kepada DAP. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here