Gambar tular nasi putih dan kuah bukan makanan RMT – Radzi Jidin

SIASATAN Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid di bawah Porgram Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mendapati bukan makanan penerima RMT di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, pihaknya telah ke sekolah terbabit menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.

“Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah.

“Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Radzi berkata, KPM sentiasa berusaha menambah baik program berkenaan termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT.

“KPM sentiasa berusaha menambahbaik program RMT, termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT. 

“Buat masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah daripada 2 kali seminggu kepada setiap hari persekolahan mulai tahun 2021,” ujarnya.

Sebelum ini, tular sebuah gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan makanan RMT yang hanya berbekalkan nasi putih dan kuah sahaja.

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa, cucu saudaranya hanya menerima menu nasi putih serta kuah saja dan mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehinggakan pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah.

Perkongsian gambar tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan hidangan RMT tersebut serta mahukan tindakan segera dijalankan KPM. – SB