SETELAH ditangguhkan penyiaran tahun lalu akibat pandemik Covid-19, program Big Stage 2022 kembali bersiaran selama lapan minggu mulai minggu depan.
Program yang memberikan tumpuan kepada bakat-bakat baharu atau digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) kali ini diisi oleh 11 bintang dari negara serantau.
Menariknya kali ini bukan sahaja peserta dari Malaysia yang akan bertanding sebaliknya turut disertai dari Brunei dan Indonesia.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro amat gembira melihat kebangkitan semula dunia seni hiburan yang kembali rancak meskipun kemelut pandemik masih lagi belum berkesudahan sehingga ke hari ini.
“Sambutan hangat dan sentimen positif terhadap penganjuran program realiti Gegar Vaganza di platform Astro Ria yang bakal melabuhkan tirainya pada hujung minggu ini dilihat sebagai penanda aras serta pemangkin semangat buat kami untuk terus menganjurkan sebuah lagi pertandingan berskala besar.
“Walaupun dalam keadaan serba mencabar, Astro komited demi komitmen kepada pelanggan Astro yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini.
“Menerusi Big Stage 2022, kami sekali lagi membuka ruang perkongsian kreatif khusus buat generasi BBNU di peringkat serumpun untuk mengembangkan bakat dan potensi diri,” katanya.

Jelasnya, mereka berharap setiap peserta yang bertanding bijak merebut peluang yang ada untuk beraksi dengan cemerlang di pentas komersial secara live memandangkan ia mampu memberi anjakan kepada prestasi seni mereka.
Dalam edisi penganjuran kali ini, lima bintang wanita yang bakal berentap untuk musim ini ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yazmin Aziz dan Sofiaa Marieylla.
Manakala enam bintang lelaki pula adalah terdiri daripada Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).
Big Stage 2022 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan panel juri dan undian peminat secara online.
Dalam pada itu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal, Ajai mengambil tugas sebagai juri tetap.
Manakala, Alif Satar dan Sherry Al Hadad masih lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku pengacara rancangan yang menawarkan hadiah tunai RM100,000 itu.
Big Stage 2022 bakal memulakan siaran pada 6 Februari hadapan menerusi saluran Astro Ria.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.