PRN Johor: Demi rakyat atau mahu melaksanakan agenda politik UMNO?

0
322

TIADA apa yang mengejutkan apabila portal berita Malaysiakini menyiarkan kenyataan satu sumber UMNO yang menegaskan parti itu bukan sahaja yakin akan menang selesa jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat, tetapi turut optimis dapat “membunuh” Bersatu.

“UMNO optimis bahawa kita bukan saja berupaya untuk menang dengan selesa, tetapi ini juga medan terbaik bagi melemahkan Bersatu. Jika kita mahu ‘membunuh’ Bersatu di sinilah medannya, kemudiannya pada PRU15,” katanya yang merupakan pemimpin pusat UMNO.

Sebenarnya ‘budak sekolahpun’ tahu tujuan sebenar UMNO beria-ia mahu mengadakan PRN di Johor. Ia bukan sangat soal mahu mengukuhkan atau menstabilkan kedudukan kerajaan negeri yang kini berkuasa dengan kelebihan satu kerusi tetapi lebih daripada itu ialah ‘membunuh’ Bersatu di Johor iaitu negeri kelahiran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukanlah rahsia lagi ramai pemimpin UMNO termasuklah di Johor yang menyimpan dendam kepada Muhyiddin berikutan apa yang berlaku pada PRU-14 lalu.

Atas sebab itulah apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, walaupun UMNO turut berada dalam kerajaan dan beberapa ahli Parlimen parti itu memegang jawatan menteri Kanan, namun mereka tidak berpuas hati. Apabila tercetusnya pandemik Covid-19, mereka ‘menyerang’ Muhyiddin habis-habisan dengan slogan ‘Kerajaan Gagal’.

Pada awal pagi 3 Ogos 2021 Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid membuat pengumuman parti tersebut menarik sokongan kepada Muhyiddin. Ia disusuli dengan penarikan sokongan oleh 14 Ahli Parlimen UMNO sehingga memaksa Ahli Pagoh itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 13 Ogos 2021.

Tetapi adakah kelompok tersebut yang hakikatnya mempunyai agenda ‘mengkafankan’ Bersatu sudah berpuas hati? Sudah pasti tidak. Justeru mereka mengharapkan PRN Melaka yang diadakan pada 20 Nomber lalu detik terbaik untuk ‘menguburkan’ parti pimpinan Muhyiddin tersebut, namun mereka gagal.

Walaupun tidak menang besar tetapi Bersatu berjaya mengekalkan kemenangan di dua kerusi DUN walaupun di kawasan lain. Keadaan inilah menyebabkan segelintir pemimpin UMNO terutama ‘puak-puak batu api’ yang ada antara mereka bertanding dalam PRU-14 pun kalah terus mencari jalan bagaimana mahu ‘membunuh’ Bersatu.

Apabila kedudukan Kerajaan Negeri Johor hanya ditadbir dengan kelebihan satu kerusi sahaja, maka mulalah gerakan dilakukan bagi membolehkan PRN negeri diadakan atas alasan demi mewujudkan kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

Kalau mereka berhujah soal kestabilan, Bersatu yang berada dalam kerajaan sudah memberi jaminan akan menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad sehingga habis penggal manakala pakatan pembangkang sudah membuat kenyataan rasmi menolak PRN Johor dan menawarkan ‘Komitmen Kestabilan’ bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi.

Jadi apa lagi alasan pemimpin UMNO termasuk Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad untuk mengadakan PRN?

Apa yang penting dalam pentadbiran sesebuah kerajaan negeri yang ada majoriti tipis ialah jaminan oleh parti sekutu dan parti lawan bahawa mereka akan terus memberi sokongan serta tidak menggugat pentadbiran kerajaan negeri sehinggalah PRU-15 diadakan.

Dalam konteks politik di Johor, jaminan tersebut telahpun dibuat oleh kedua-dua pihak kepada Hasni, justeru kenapa mahu juga PRN diadakan yang akan menyebabkan tidak kurang RM150 juta terpaksa dibelanjakan oleh SPR?

UMNO selalu mendabik dada menjadi pejuang rakyat sehingga bagaikan ‘nak runtuh KWSP’ dengan desakan supaya pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan RM10,000 walaupun ia bantah oleh pelbagai pihak termasuk majikan dan pakar-pakar ekonomi

Oleh itu kalaulah betul UMNO prihatin dengan nasib rakyat, kenapa hendak menyusahkan rakyat untuk menyeret mereka ke gelanggang pilihan raya pula? Bukankah rakyat tengah susah selepas dilanda pandemik Covid-19 dan di Johor beberapa daerah baru sahaja pulih daripada banjir, tak kan UMNO hanya fikir kuasa politik semata-mata?

Penulis percaya jaminan yang dibuat oleh parti sekutu dalam kerajaan negeri Johor dan pembangkang tidak akan berhasil untuk menghalang segelintir pemimpin UMNO yang terlalu teruja mahu PRN Johor diadakan.

Ia kerana UMNO mahu menggunakan strategi PRN Melaka di Johor iaitu mengharapkan pengundi luar tidak pulang, pakatan pembangkang berada dalam keadaan lemah dan peratusan keluar mengundi rendah, hanya melalui cara itu sahaja mereka boleh menang.

UMNO tahu kalau mereka menanti PRU yang semua pengundi akan pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing mungkin ‘ke laut lah’ harapan parti itu menang selesa seperti mana di Melaka. Atas sebab itu mereka mahu mengadakan PRN ‘sebanyak mungkin’, selepas Johor, tidak mustahil Perak pula jadi sasaran.

Apapun sama ada PRN Johor wajar diadakan atau tidak, ia terserah kepada Hasni untuk membuat keputusan. Sebagai Menteri Besar, Hasni pastinya memahami sentimen rakyat Johor ketika ini. Khabarnya, rakyat negeri itu amat tidak selesa untuk PRN diadakan pada masa ini.

Oleh itu Hasni perlu memikirkan semasak-masaknya kerana sama ada ia keputusan yang baik atau buruk, beliau yang akan menanggung bukannya pemimpin pusat atau pemimpin UMNO di negeri itu.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

SatuBerita menghargai pendapat anda.
Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here