Polis cari Myvi jingga bantu kes langgar lari

POLIS sedang mengesan pemandu kenderaan, dipercayai sebuah Perodua Myvi bagi membantu siasatan kes langgar lari yang menyebabkan dua sahabat maut di Kilometer 13, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Kelantan tengah malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata anggotanya turut menjalankan pemeriksaan di beberapa bengkel sekitar Kota Bharu bagi memastikan sama ada terdapat kenderaan dibaiki ada persamaan dengan kejadian itu.

“Dalam kejadian itu, berdasarkan serpihan komponen yang ditemukan di lokasi, kami mengesyaki dua mangsa dilanggar Perodua Myvi berwarna jingga.

“Bagaimanapun menerusi pemeriksaan yang dibuat di beberapa bengkel membaiki kereta sekitar daerah ini, tiada penemuan yang berkaitan diperoleh,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan yang dibuat sama ada daripada pemandu atau mana-mana saksi di seluruh balai setakat ini.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dengan balai polis berhampiran. – SB