Perintah darurat di Kazakhstan ditamatkan

0
399

PERINTAH darurat yang diisytiharkan pada 5 Januari yang lalu di Kazakhstan susulan pergolakan yang melanda negara tersebut berakhir semalam.

Penamatan perintah darurat itu sekali gus telah mengembalikan kehidupan normal penduduk di Kazakhstan khususnya ibu negara Nur Sultan, termasuk di bandar besar lain seperti Almaty, wilayah Atyrau, Jambyl, Kyzylorda dan Mangistau.

Selain itu, langkah keselamatan di jalanan turut ditarik semula termasuk perintah berkurung yang dikenakan untuk waktu-waktu tertentu.

 Sekatan perjalanan masuk dan keluar dari bandar tersebut turut ditarik balik.

Jurucakap akhbar Presiden Berik Uali dalam satu kenyataan sempat mengucapkan terima kasih atas perpaduan rakyat serta tindakan pasukan keselamatan dan penguat kuasa undang-undang yang sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keamanan serta ketenteraman seluruh Kazakhstan.

Perintah darurat diisytiharkan pada 5 Januari lalu di negara itu selepas berlaku pergolakan yang tercetus selepas protes aman bertukar kepada pemberontakan ganas.

Bagaimanapun, perintah itu ditarik balik pada 13 Januari membabitkan beberapa wilayah sebelum tempoh yang sepatutnya ditetapkan.

Sekurang-kurangnya 225 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan itu susulan bantahan terhadap peningkatan harga gas petroleum cecair (LPG) di Kazakhstan, namun tindakan kerajaan mengurangkan harga bahan komiditi itu gagal memuaskan hati peserta demontrasi.

Protes yang bermula 2 Januari itu kemudian bertukar menjadi pertempuran dengan polis, di mana suasana paling ganas berlaku di Almaty. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here