Lee Zii Jia sah tinggalkan BAM

0
81

KHABAR angin pengunduran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mengundur diri daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab apabila badan induk itu mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan pemain itu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya menerima surat peletakan jawatan untuk keluar daripada BAM dan bergelar pemain profesional dari juara Seluruh England itu pada 11 Januari lalu.

Bagaimanapun menurut beliau, BAM hanya akan memaklumkan sama ada menerima surat peletakan jawatan itu atau tidak pada Jumaat ini selepas ahli jawatankuasa BAM yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos bermesyuarat.

“Selepas kita menerima surat itu memang kita ada berbincang dengan kakaknya untuk cuba pujuk memandangkan kita membina dan menjaga dia dari umur 13 tahun dan sampailah ke tahap ini.

“Kita tak mahu kehilangan dia kerana tujuan kita (BAM) adalah untuk bawa ke peringkat lebih tinggi supaya dia menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei.

“Seharusnya dia fokus untuk kekal di BAM namun dia katakan dia bukan Lee Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan nak capai apa yang di inginkan dengan cara dia sendiri.

“Kita hormat semua keputusan dia, tapi kita adalah sebuah institusi dan saya akan panggil semua ahli jawatankuasa bermesyuarat dan akan putuskan Jumaat ini,” katanya.

Norza berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke temasya Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing. 

Mengulas lanjut, beliau merasakan bahawa masalah Zii Jia bukan dengan BAM tetapi mungkin kerana dia melihat keutamaannya yang lain.

“Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

“Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain bebas,” katanya.

Norza turut mengakui secara peribadi, beliau kecewa dengan keputusan Zii Jia namun dalam masa yang sama BAM akan cuba fahami situasi Zii Jia tanpa prejudis. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here