[VIDEO] Bantu mangsa banjir tangani masalah debu lumpur kering – Pakar

0
106

MESKIPUN cuaca panas sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir, namun timbul pula masalah debu daripada lumpur kering selepas banjir surut, yang menyelubungi sekitar kawasan yang terjejas seperti di Taman Sri Nanding Hulu Langat, Selangor.

Rata-rata mangsa banjir di kawasan itu kini bimbang akan kesejahteraan kesihatan mereka susulan perkara itu dan mengharapkan pihak berwajib melakukan sesuatu bagi mengurangkan masalah debu selain mengharapkan hujan turun untuk membasahi jalan raya walaupun masih trauma.

Pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, masalah debu ketika pasca banjir tidak dapat dielakkan dan ia memberikan risiko besar kepada mangsa banjir terutamanya buat mereka yang menghidap penyakit masalah pernafasan selain mengakibatkan batuk, selesema, sakit tekak atau sakit dada.

“Risiko debu lebih menjurus ke arah masalah pernafasan seperti asma, bronkitis dan sebagainya. Risikonya sama seperti keadaan jerebu. Penyakit kulit juga berisiko, bergantung kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap debu-debu halus,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman.

Justeru katanya, pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang sepatutnya bagi membantu untuk meringankan beban mangsa banjir dalam menangani masalah berkenaan sekaligus memulihkan kehidupan mereka.

Menurut beliau lagi, pihak-pihak yang berkenaan juga perlu membantu pengusaha premis makanan di kawasan yang terdedah dengan debu atau habuk untuk memantau mutu kebersihan makanan mereka sebelum dijual kepada orang ramai.

Perkara itu adalah ekoran terdapat premis-premis makanan yang baru sahaja memulakan kembali operasi perniagaan mereka setelah sebulan hilang punca pendapatan sejak bencana banjir melanda mereka.

“Dalam debu ada potensi untuk mempunyai mikroorganisma yang mana kalau masuk ke dalam makanan, boleh membawa kepada masalah penyakit pembawakan makanan seperti cirit-birit. Perlu diberikan perhatian supaya kita dapat mengelakkan masalah keracunan makanan dan sebagainya.

“Saya juga ada nampak bahawa kedai-kedai makan mengambil tindakan menutup makanan mereka dengan pelitup plastik. Itu adalah antara cara pencegahan yang bagus. Selain itu, peniaga juga boleh bungkus siap-siap makanan yang dijual. Jadi tiada risiko terhadap mutu kebersihan makanan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Malina berkata, mangsa-mangsa di kawasan yang terjejas perlu bersama-sama mengambil langkah berjaga-jaga sehingga masalah debu yang boleh mengganggu kehidupan harian ini dapat diselesaikan.

Antara cadangannya adalah untuk sentiasa menutup pintu dan tingkap rumah serta menasihati penduduk untuk sentiasa duduk di dalam rumah sekiranya tiada urusan penting bagi mengurangkan pendedahan terhadap debu tersebut.

“Di peringkat masyarakat, antara tindakan yang boleh dimulakan mungkin daripada kalangan penduduk seperti mengambil giliran untuk membasahkan jalan-jalan daripada terlalu kering untuk mengelakkan debu berterbangan.

“Selain itu, sepertimana cadangan pakar-pakar pencemaran udara yang menasihatkan untuk memakai pelitup muka N95 yang khusus untuk menangani masalah demikian. Dua lapisan pelitup muka mungkin memadai, tetapi debu-debu halus masih mempunyai kemungkinan untuk menembusinya,” katanya.

Terdahulu pada Isnin, Tinjauan SatuBerita di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor mendapati penduduk sekitar kini mengalami masalah debu daripada lumpur kering selepas banjir sehingga mengganggu aktiviti harian mereka.

Malah, rata-rata penduduk yang ditemui juga mengadu sedang mengalami batuk-batuk dan selesema di samping perlu membersihkan kediaman mereka berulang kali setiap hari kerana masalah debu yang dialami mereka.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here