[VIDEO] Sebulan berlalu, peniaga Taman Sri Nanding masih terkapai-kapai

0
317

BAH yang melanda Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor sudah sebulan surut namun, kesan yang dialami oleh penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas masih belum ‘kering’ apatah lagi menjadi parut bak luka yang masih belum berhenti mengalirkan darah.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Mangsa Banjir Taman Sri Nanding kini ‘lemas’ dalam debu

Tinjauan SatuBerita di kawasan itu mendapati rata-rata daripada mangsa yang terlibat terpaksa membina kehidupan baharu kerana banyak kehilangan harta benda.

FOTO SB

Bagaimanapun, beban itu bukan sahaja ditanggung penduduk tetapi peniaga kedai runcit yang mengalami kerugian besar selepas stok barang jualan dan peralatan rosak akibat banjir.

Menurut pengusaha kedai runcit Pasar Mini Jempa, Zaini Mohd. Noor, 54, kedai runcitnya baru sahaja beroperasi selama seminggu dan masih dalam proses pembersihan walaupun sudah sebulan berlalu tragedi banjir berkenaan.

Tambah Zaini, kerugian yang ditanggungnya adalah sebanyak RM150,000 kerana terpaksa membuang barangan runcit yang ditenggelami banjir.

“Masih dalam proses pembersihan, barang-barang yang kita boleh bersihkan, kita bersihkan, yang tak boleh kita bersihkan, kita buang. Sebab banyak debu dan habuk.

“Yang dapat diselamatkan air botol dan air tin, jika barang runcit seperti beras, gula, tepung, kicap memang tidak dapat diselamatkan, kami buang. Dua lori kami buang,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

FOTO SB

Menurut Zaini, kedai runcit yang sudah beroperasi selama 15 tahun itu baru sahaja mengambil stok barangan baharu seminggu sebelum banjir melanda di kawasan itu, namun terpaksa dibuang kerana tidak dapat diselamatkan.

“Seminggu sebelum kejadian, baru masukkan stok, tiba-tiba selepas seminggu banjir melanda. 

“Barang baru sahaja masuk, saya terpaksa tutup kedai cawangan di Petaling Jaya, bawa masuk di sini. Modal dah tiada, nanti ada rezeki saya buka balik kedai di sana,” katanya.

Muhd. Zikri, 24

Sementara itu, berbeza dengan satu lagi kedai runcit, yang terpaksa membuang semua barangan kerana tidak dapat diselamatkan, termasuk peralatan kedai runcit seperti peti ais.

Pembantu Kedai Runcit Rostam, Muhd. Zikri, 24, berkata, hampir kesemua stok barangan runcit mereka ditanggung sepenuhya oleh ahli keluarga yang berkongsi duit untuk perniagaan keluarganya kembali ‘bernafas’. 

“Semua barang runcit kami beli stok barangan semula, modal daripada keluarga, kami tidak minta bantuan kerajaan. Ada mohon bantuan kerajaan, tetapi pinjaman tanpa faedah. 

“Kerugian mengikut fakta ayah saya (pemilik kedai), hampir RM150,000, barangan baru sahaja kami beli stok yang baharu, barangan baru sahaja letak, beras baru sahaja sampai sebanyak 4 tan, dua hari selepas itu banjir melanda,” katanya.

Menurutnya, meskipun bersyukur kedai runcit kembali beroperasi, namun harapan disandarkan supaya pihak berwajib dapat memberi bantuan yang lebih buat peruncit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here