Sorok mercun Tahun Baru Cina dalam kedai menjual telefon bimbit

0
273

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAKTIK satu sindiket cuba menyembunyikan mercun dan berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit tidak berjaya apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua semalam.

Menerusi serbuan di Taman Mutiara Emas, Skudai, Johor Bahru pada pukul 3 petang, PPM Wilayah Dua merampas 250 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM350,000.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan serbuan itu adalah selepas pihak polis melakukan siasatan dan intipan selama dua hingga tiga minggu di kedai berkenaan.

Jelasnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pekerja di premis tersebut.

“Menerusi serbuan berkenaan kita melakukan pemeriksaan di seluruh kedai dan menemukan 250 kotak mengandungi 16 jenis mercun dalam bahagian stor di belakang kedai tersebut.

“Kedai itu berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa di luar kotak ditulis Happy Boom iaitu bungai api yang dibenarkan dijual di pasaran.

“Namun di dalamnya mengandungi mercun terlarang,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Marin, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, semua bekalan mercun tersebut dipercayai untuk dipasarkan sebelum Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Menurutnya, kedai tersebut sudah lama beroperasi menjual telefon bimbit dan pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama kegiatan itu dilakukan yang berselindung di sebalik perniagaan itu.

Suspek berkenaan katanya, dipercayai ahli sindiket berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan pihaknya masih menyiasat suspek lain yang terlibat.

“Pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan dan menjual mercun berkenaan,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan.

Kamarul Zaman turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan sebarang kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang menerusi talian 07-2372222 atau 07-2376122.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hanya 26 buah kuil di negeri ini dibenarkan menyambut perayaan Thaipusam dengan melibatkan 50 penganut sahaja di rumah ibadat yang terlibat.

Jelasnya, daripada jumlah itu hanya tujuh kuil sahaja dibenarkan untuk dibuat perarakan dan pihak polis akan melakukan pemantauan di setiap kuil yang terlibat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here