Perlu seminggu lagi padam kebakaran tapak sampah Sungai Burung

0
213

KEBAKARAN tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang memasuki hari kelima hari ini dijangka mengambil masa seminggu lagi untuk dipadamkan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, ini kerana anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengatasi masalah itu termasuk meminta pihak syarikat operator tapak berkenaan bertanggungjawab.

“Bomba menghadapi masalah iaitu tekanan air rendah dan masalah kekurangan tanah untuk ditambun selain kawasan yang terbakar juga mungkin sudah seluas tujuh hektar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah itu hari ini dengan diiringi Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Dalam pada itu Mansor berkata, kejadian kebakaran tersebut perlu ditangani dengan baik oleh semua pihak berkaitan memandangkan menyebabkan kesan kebakaran yang membimbangkan.

Anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas.

Malah ujar beliau, insiden itu juga merupakan kejadian terburuk setakat ini meskipun tapak sampah berkenaan pernah beberapa kali dilaporkan terbakar sebelum ini.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihak operator tapak pelupusan sampah berkenaan telah beberapa kali dikenakan tindakan oleh pihaknya atas kesalahan pembakaran terbuka.

Ujarnya, operator berkenaan turut dikompaun sebelum ini selain mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Bagi kejadian ini, JAS Pulau Pinang akan meneliti  kesalahan-kesalahan mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk diambil tindakan terhadap syarikat operator terbabit,” katanya.

Pada Rabu lalu, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar itu dikesan mengalami kebakaran pada kawasan seluas kira-kira 6.5 hektar.

Ekoran itu, kira-kira 200 penduduk daripada 86 keluarga di kLadang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terletak berhampiran tapak tersebut diminta berpindah ke pusat pemindahan sementra (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah sejak semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here